KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin meneruskan kecemerlangan dalam sukan kuda lasak apabila menduduki tempat kelapan Kejohanan Kuda Lasak Bremervale Justice Ride, FEI 3 Star di Brisbane, Australia, semalam.
Pengurus Projek Kejohanan Kuda Lasak Dunia (WEC) 2008, Mohamad Din Mat berkata, Tuanku Mizan yang menyertai kategori 160 kilometer memulakan perlumbaan pada pukul 4.30 pagi (waktu tempatan) semalam dan menamatkan loop terakhir pada pukul 9.05 malam dalam masa 12 jam 55 minit.
Menurutnya, Tuanku Mizan berjaya menduduki tempat kelapan daripada 27 peserta yang menyertai kategori tersebut.
Katanya, tiga lagi peserta negara iaitu Abdul Halim Alihan meraih kedudukan kesembilan, Mohd. Shuaib Ishak di tempat ke-11 dan Faizal Ismail ke-12.
''Kejohanan yang berlangsung di bandar Fernvale, kira-kira 60 kilometer dari Brisbane amat bermakna bagi Tuanku Mizan kerana berjaya memperoleh COC kedua untuk kuda kedua baginda, Taljari Moonlight-Arabian.
''Tuanku Mizan dan para peserta lain gembira kerana dapat menamatkan acara walaupun terpaksa berdepan laluan berbukit dan berbatu serta cuaca yang tidak menentu,'' katanya.
Sebanyak 100 peserta dari Korea, New Zealand, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia menyertai pertandingan tersebut yang turut menganjurkan kategori 40 kilometer dan 80 kilometer.
Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz berkata, setakat ini, tiga peserta Malaysia layak untuk menyertai WEC 2008 di Terengganu, November ini.
Selain Tuanku Mizan, katanya, peserta lain yang layak ialah Mohd. Shuaib dan Datuk Kamaruddin Ab. Ghani.
Menurut Dato' Dr. Ramlan, jumlah peserta negara yang berjaya melayakkan diri ke WEC 2008 dijangka meningkat memandangkan 8 atlet Malaysia telah pun memperolehi sijil COC pertama masing-masing.
"Bagi atlet negara yang masih belum mendapat sijil COC kedua (untuk layak ke WEC 2008),, mereka masih mempunyai masa untuk memperolehinya memandangkan terdapat beberapa kejohanan yang akan diadakan menjelang WEC 2008 nanti,'' katanya.